Friday 18 March 2016

Lahirnya Kamu Ke Dunia

Setelah berbulan-bulan ibu membawa kamu ke sana ke sini, akhirnya kamu selamat dilahirkan.

Tanggal 17 March ibu selamat melahirkan kamu. Ibu terpaksa dibedah untuk mengeluarkan kamu dari rahim ibu. Menurut kata doktor di Hospital Banting, kamu telah berak di dalam kandungan. Kami risau kerana kamu akan makan tahi dan akan menyebabkan kamu mengidap penyakit.

Ibu terpaksa dikejarkan ke Hospital Klang untuk menjalani pembedahan iaitu Ceaser. Ayah ikut dari belakang.

Ayah sampai ke Wad 2B dan mendengar kamu menangis. Alhamdulillah kamu selamat. Ayah dan ibu amat gembira.

Selamat Datang ke Dunia!

Thursday 17 March 2016

Bakal Bersalin

Bacaan untuk anakku

Pagi tadi pada pukul 7 ketuban ibu dah pecah. Meleleh air ketuban keluar. Ayah dah kelam-kabut tadi. Ayah jadi bingung apa perlu dibuat.

Ayah kejutkan nenek. Nenek suruh ibu telefon jururawat desa. Ibu pun telefon. Jururawat kata terus ke Wad 1 Hospital Banting.

Ayah tahu wad itu sebab ayah pernah ambik anak abang bernama Nur Najima di situ. Jadi ayah dan ibu terus bersiap-siap. Soal pakaian dan segala persiapan sudah kami siapkan. Cuma menunggu kelahiran kamu saja.

Ibu mengadu sakit. Ayah pandu laju ke Hospital Banting. Sampai di situ, ibu ditahan wad. Menunggu kelahiran kamu.

Hari ini sepatutnya ibu, bapa dan ibu saudara ada perbicaraan mengenai pembahagian tanah pusaka. Memandangkan ibu tak boleh hadir jadi urusan itu diserah pada bapa saudara. Harapnya pihak pejabat tanah faham.

Ayah menunggu kamu anakku

Monday 7 March 2016

Resah

Ayah dah lama berniat nak wujudkan satu blog khas untuk kamu tapi ayah tiada masa nak buat. Ayah tak ada masa sebab jaga ibu yang mengandungkan kamu.

Hari ini ayah ada masa terluang nak buat. Hari ini ayah baru selesai teman ibu kamu ke klinik desa. Disebabkan tekanan darah ibu tinggi, ibu kena rujuk ke Klinik Kesihatan Tg Sepat.

Ayah hantar ibu ke Klinik Kesihatan Tg Sepat. Ayah dengar penjelasan dari ibu jika keadaan jantung berdegup laju, pedih ulu hati, ayah kena bergegas hantar ibu ke Hospital Banting. Ibu kena bersalin secara pembedahan. Bukan bersalin normal.

Itu yang membuatkan ayah resah dan rungsing bila memikirkannya. Ayah risau ibu dan anak ayah ni tak sihat ke, apa ke. Ayah mana tak sayangkan ibu dan anaknya.

Sekarang ayah hanya mampu berdoa agar ibu dan kamu dalam keadaan sihat. Ayah dah lama merindui kamu. Ayah tunggu kelahiran kamu.

Hari ini ibu dapat sijil cuti sakit. Ayah pesan ibu berehat di rumah je. Jangan buat kerja berat-berat. Ayah pun sayangkan ibu kamu.

Semoga bertemu kita ye.